Kerugian penipuan dalam talian melonjak drastik cecah RM3 bilion tahun lalu

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Rusdi Mohd Isa/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Jenayah penipuan dalam talian di negara ini mencatat lonjakan drastik pada 2025 dengan jumlah kerugian kewangan melebihi RM3 bilion sekali gus menjadikannya antara jenayah komersial paling pesat berkembang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerugian penipuan dalam talian meningkat mendadak melebihi RM3 bilion pada 2025, menunjukkan skala kerugian kewangan yang serius.
  • Bilangan kes melonjak kepada 74,769 pada 2025, mencerminkan peningkatan kekerapan jenayah penipuan dalam talian.
  • Peningkatan mangsa pelajar membimbangkan; orang awam dinasihatkan menyemak maklumat, tidak panik, dan melaporkan penipuan segera.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Rusdi Mohd Isa berkata jumlah itu meningkat 89.5 peratus berbanding RM1.585 bilion yang direkodkan pada 2024.

Beliau berkata bilangan kes turut melonjak 110.8 peratus kepada 74,769 kes pada 2025 berbanding 35,470 kes pada tahun sebelumnya.

“Angka-angka ini menterjemahkan makna bahawa jenayah penipuan dalam talian telah mencapai tahap yang semakin serius, bukan sahaja dari segi kekerapan kejadian, malah dari sudut skala kerugian kewangan dan kesannya terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program “Awas Tipu Daya: Lindungi Diri, Lindungi Komuniti” anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini hari ini.

Mengulas trend mangsa, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan pembabitan pelajar dalam jenayah tersebut.

Statistik menunjukkan 5,293 pelajar menjadi mangsa penipuan dalam talian pada 2025 berbanding 2,401 pelajar pada 2024 dan 2,342 pelajar pada 2023.

“Jenayah scam ini tidak menyasarkan golongan tertentu. Sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa tanpa mengira usia, latar belakang atau tahap pendidikan,” katanya.

Beliau menegaskan langkah pencegahan berkesan mesti bermula daripada kesedaran individu selain mengingatkan masyarakat supaya tidak berkongsi maklumat peribadi atau kewangan melalui panggilan telefon, mesej, e-mel atau media sosial yang mencurigakan.

“Setiap maklumat dan tawaran perlu disemak serta disahkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya sambil menyeru masyarakat supaya sentiasa menyemak, tidak panik, tidak mudah percaya dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika mengesyaki sebarang bentuk penipuan.