Bantuan pelajar miskin ditambah secara berperingkat – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada program Sesi Temu Anwar di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT)/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Perbincangan bersama Kementerian Kewangan sedang dijalankan bagi meningkatkan bantuan kepada pelajar miskin pada masa akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Meningkatkan bantuan pendidikan kepada pelajar miskin secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan negara.
  • Kerajaan komited menyediakan pendidikan semurah mungkin serta kemudahan untuk golongan memerlukan.
  • Bertegas membanteras rasuah dan penyelewengan termasuk tangkapan, pendakwaan dan penyitaan aset.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat kerajaan semestinya menyediakan pendidikan semurah mungkin serta kemudahan kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata keadaan kewangan negara ketika ini memerlukan pelaksanaan dasar tersebut dibuat secara berperingkat.

Justeru, beliau menegaskan pendirian untuk membanteras rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran.

“Bila kita bentuk kerajaan kita lihat lompongan tanggungan sudah sampai puluh bilion terhutang lalu saya putuskan kita beri pendidikan percuma bagi yang paling miskin bermula 5,000 kemudian 10,000 orang, tetapi kalau kita punyai masalah pada peringkat sekarang ini kita cuba selesai ikut peringkat.

“Saya hanya boleh beri jaminan dalam kerajaan sekarang kita keras, siapa saja yang sakau curi duit saya tak peduli siapa kamu, Tun, Tan Sri atau Datuk Seri, kalau curi duit kita tangkap, dakwa dan rampas duit itu, itu pendirian kita,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian pada sesi soal jawab program Temu Anwar di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan penstrukturan semula Tingkatan Enam dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi telah mula dilaksanakan tahun ini dan akan diteruskan secara berperingkat.