
IPOH, 4 Februari – Seorang wanita didenda RM11,800 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan kejadian mengamuk di sebuah kedai makan, bulan lalu.
- Wanita, Nurfarahanim Soaid, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan kejadian mengamuk di sebuah restoran.
- Dia didakwa menampar, menumbuk, mencederakan dengan garfu dan merosakkan tiga keping kaca pameran makanan.
- Mahkamah menjatuhkan denda keseluruhan RM25,800, pecahan RM11,800, RM6,000 dan RM4,000 mengikut pertuduhan.
Tertuduh Nurfarahanim Soaid, 29 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Hanini Abdullah dan Mohd Harith Mohd Mazlan di bilik mahkamah berasingan.
Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa dengan sengaja mencederakan Mohamed Hussain Mubarakali dengan menampar dan menumbuk mangsa.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga di mahkamah berasingan, tertuduh didakwa mencederakan seorang lelaki menggunakan senjata berbahaya iaitu garpu dan melakukan khianat dengan memecahkan tiga keping kaca pameran makanan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Restoran SK Naina, Jalan Tawas Baru 1, Taman Tasek Damai, pada jam 6.26 pagi, 28 Januari lalu.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 323, Seksyen 324 dan Seksyen 427 kanun keseksaan.
Pendakwaan bagi pertuduhan pertama dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd Kohar, manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Nishaalini.
Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Robert S. Gnanarajan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,800 bagi pertuduhan pertama, RM6,000 bagi pertuduhan kedua dan RM4,000 bagi pertuduhan ketiga.