
KUALA LUMPUR, 3 Februari – Setiap entiti perniagaan perlu bersedia menguruskan risiko naik turun mata wang termasuk melalui strategi lindung nilai.
- Setiap perniagaan mesti bersedia mengurus risiko turun naik mata wang melalui strategi lindung nilai.
- Pergerakan ringgit adalah norma pasaran dan kesannya berbeza mengikut sektor.
- Strategi pengurusan bergantung pada jenis perniagaan, contohnya komoditi versus produk pengguna.
- Ringgit lebih kukuh boleh kurangkan kos berdenominasi AS dan bantu pengekalan bakat serta kecekapan kos teknologi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pergerakan ringgit adalah sebahagian daripada norma pasaran dan kitaran ekonomi dengan kesannya berbeza mengikut sektor.
“Sebagai sebuah perniagaan, ada banyak cara untuk menguruskan risiko seperti mekanisme lindung nilai, strategi melindungi rantaian bekalan dan pelanggan.
”Semua ini bergantung kepada jenis perniagaan masing-masing, contohnya kalau melibatkan komoditi, strateginya berbeza. Kalau produk berkaitan pengguna pula strateginya juga berbeza,” katanya kepada media selepas perasmian Pusat Pengalaman GD XCHANGE, di sini hari ini
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GDEX Berhad, Teong Teck Lean berkata pengukuhan ringgit secara umumnya memberi kesan positif bagi kumpulan itu.
Jelasnya, kenaikan unit tempatan itu telah mengurangkan kos perkhidmatan yang ditetapkan dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) seperti lesen perisian dan langganan teknologi.
”Ringgit yang lebih kukuh juga berpotensi menyokong pengekalan bakat menerusi jurang gaji yang lebih kecil antara Malaysia dan pasaran negara jiran.
”Ini sekali gus mengurangkan kecenderungan penghijrahan tenaga kerja, di samping membantu kecekapan kos terutama dari aspek teknologi tanpa menjejaskan operasi,” katanya.