
KUALA LUMPUR, 2 Februari – Seramai 14,858 individu pemastautin cukai Malaysia telah dikenal pasti dengan jumlah keseluruhan baki akaun kewangan luar negara melebihi RM10 bilion, namun tidak mengemukakan pelaporan cukai melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).
- LHDN kenal pasti 14,858 pemastautin dengan baki akaun luar negeri melebihi RM10 bilion tidak dilaporkan.
- LHDN gunakan pertukaran maklumat antarabangsa bersama lebih 100 negara untuk kesan ketidakpatuhan rentas sempadan.
- LHDN beri peringatan dan galakan pematuhan sukarela sebelum tindakan penguatkuasaan dan penalti diambil.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penemuan itu diperoleh hasil pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa melibatkan kerjasama agensi itu dengan lebih 100 negara bagi mengenal pasti potensi ketidakpatuhan cukai rentas sempadan.
Akaun kewangan luar negara dengan baki signifikan itu melibatkan beberapa negara termasuk Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda.
“LHDN telah menghantar peringatan kepada pemastautin cukai berkenaan sebagai pendekatan galakan pematuhan secara sukarela (nudging), di samping memberi ruang untuk membuat semakan dan pengisytiharan pendapatan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Pemastautin cukai Malaysia yang mempunyai pendapatan belum dilaporkan serta mempunyai akaun kewangan luar negara digesa tampil secara sukarela bagi membuat pelaporan serta pematuhan yang sewajarnya dalam tempoh terdekat, sekali gus mengelakkan penalti dan tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Dalam kenyataan sama, LHDN menegaskan komitmen melaksanakan mandat berteraskan kerangka perundangan negara, menjunjung prinsip keadilan, ketelusan dan profesionalisme bagi memperkukuh tadbir urus percukaian demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.
Sebarang pertanyaan atau maklum balas, hubungi HASiL Contact Centre (HCC) menerusi talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (luar negara), perkhidmatan Live Chat serta Borang Maklum Balas di portal rasmi https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.