ILTIZAM Seni perkasakan pelukis muda dengan ilmu dan peluang

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Februari– Bakat seni muda kini berpeluang berkembang secara profesional melalui Program ILTIZAM Seni, yang menawarkan bimbingan, ilmu, dan peluang menyeluruh untuk membina kerjaya dalam industri seni tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program ILTIZAM Seni memperkasakan pelukis muda melalui bimbingan, residensi dan elaun untuk fokus menghasilkan karya.
  • Peserta dilatih dalam keusahawanan, literasi kewangan, pemasaran seni dan komunikasi galeri untuk kerjaya seni yang mampan.
  • Karya peserta dipamerkan dan dijual, membuka peluang pendapatan serta hubungan profesional dalam industri seni tempatan.

Menurut Pengarah Hal Ehwal Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan, program selama enam bulan itu direka khas untuk memperkasakan seniman muda, terutama golongan berpendapatan rendah.

Setiap peserta disediakan elaun, tempat tinggal dan keperluan asas supaya mereka dapat menumpukan sepenuhnya pada penghasilan karya seni.

“Biasanya graduan Seni Halus tiada pendapatan selepas tamat pengajian. Jadi kami sediakan elaun, tempat tinggal dan makan minum supaya mereka boleh fokus menghasilkan karya.

“Dalam masa empat bulan, mereka akan menghasilkan karya baru yang kemudiannya dipamerkan dan boleh dijual,” jelas beliau.

Jelasnya, menerusi program berkenaan seramai empat peserta kitaran tiga ditempatkan di residensi Karak, menimba ilmu meliputi keusahawanan, literasi kewangan, penjenamaan, serta sesi mentor-mentee bersama artis berpengalaman.

Pengarah Hal Ehwal Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan/RTM

Salah seorang peserta, Mairul Malek menyifatkan program berkenaan memberi bimbingan dan pengetahuan terhadap para peserta terutamanya dalam pengurusan karya dan kerjaya seni.

“Contohnya, apabila sudah berpeluang menyertai pameran, sudah tentu akan berlaku jual beli karya. Dengan adanya modul seperti pemasaran seni dan pengurusan kewangan, saya lebih mudah menguruskan kewangan termasuk modal, pengurusan studio, serta urusan bersama galeri”, katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta,Aliff Danial menyifatkan pengalaman para mentor banyak membantu para peserta dalam memahami selok-belok seni lukis.

“Beliau mengajar kami cara mengurus karya dan bertahan dalam kerjaya seni. Bukan sekadar melukis, tetapi juga mengurus semua aspek dalam seni, ujarnya.

Dalam pada itu, Khairanee Iro turut menyifatkan pengalaman residensi sangat bermakna kerana mereka dapat berinteraksi dan belajar daripada pelukis lain.

“Pengalaman di residensi sangat berharga. Saya dapat belajar daripada artis berpengalaman, mendapat dorongan dan sokongan yang membantu saya berkembang dalam industri ini,” kata Khairanee.

Tambah Khairanee, selain kemahiran seni, peserta juga dilatih dalam pengurusan jualan karya dan komunikasi dengan galeri, menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi industri seni secara holistik.

“Dalam program ini, saya belajar banyak perkara tentang penghasilan karya dan komunikasi dengan galeri serta pihak lain yang mahir dalam seni. Ia bantu saya menjadi artis yang lebih holistik, jelasnya.

Karya yang dihasilkan akan dipamerkan pada April 2026, dengan menyasarkan jualan lebih tinggi berbanding kitaran pertama dan kedua yang mencatat nilai RM179,490.

Program berkenaan diharapkan menjadi batu loncatan bagi artis muda memulakan kerjaya serta membina pendapatan mampan melalui seni lukis.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan