
KUCHING, 31 Januari- Polis menggerakkan operasi membawa keluar mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung di Sungai Samariang pagi tadi selepas disangka patung oleh saksi.
- Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Samariang, awalnya disangka patung oleh penemunya.
- Operasi pengeluaran sukar kerana mayat tenggelam, tersangkut pada akar bakau dan lokasi merupakan habitat buaya.
- Pasukan polis dan bomba meneruskan operasi selepas paras air surut; identiti mayat masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata operasi bermula sekitar pukul 10.00 pagi menghadapi kesukaran kerana mayat telah tenggelam dan tersangkut pada akar pokok bakau.
Penemuan itu dimaklumkan oleh suami isteri dari Kampung Pulau Salak yang sedang menjala di sungai berkenaan.
Mohd Irwan berkata sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya turut dipanggil untuk membantu operasi mengeluarkan mayat yang identitinya masih belum dikenal pasti.
Beliau memaklumkan operasi akan disambung semula pada pukul 9 malam ini selepas paras air surut bagi memastikan keselamatan pasukan penyelamat.
“Lokasi penemuan merupakan habitat buaya, sekali gus menyukarkan pasukan penyelamat turun ke air sehingga keadaan benar-benar selamat untuk membawa keluar mayat,” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah Mohd Irwan, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan kehilangan individu yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat tersebut.
Tinjauan RTM di jeti Kampung Samariang Batu mendapati pasukan polis dan bomba telah bergerak ke lokasi menggunakan sebuah bot penyelamat.