
KMP), Jayden Goh (Ketua Pegawai Eksekutif Econili) dan Lim Shi Yuan (Penolong Pengurus, Pelaburan KMP)
KUALA LUMPUR, 31 Januari – Kumpulan Modal Perdana (KMP) milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) mengumumkan pelaburan strategik dalam fasiliti berteknologi hidrometalurgi yang dibangunkan syarikat kilang kitar semula bateri litium-ion terbesar di negara ini.
- Pelaburan KMP tingkatkan pemprosesan tempatan untuk kitar semula bateri litium-ion, mengurangkan pembaziran sumber kritikal.
- Inisiatif ini wujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam kejuruteraan kimia dan teknologi hijau.
- Skala pemprosesan besar bantu pengurusan sisa teratur, kurangkan pencemaran dan sokong kestabilan grid tenaga boleh baharu.
- Langkah ini perkuat rantaian bekalan domestik, kurangkan kebergantungan import dan selari dengan NIMP 2030 serta NETR.
Pelaburan itu bagi membolehkan pemprosesan sumber mineral dilakukan secara tempatan kerana berupaya memproses sehingga 24,000 tan bateri terpakai setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif KMP, Yarham Yunus berkata pelaburan berkenaan bukan sekadar suntikan modal, sebaliknya langkah jangka panjang bagi memastikan sumber kritikal negara tidak terbuang sebagai sisa.
“Dalam usaha menuju ekonomi berteknologi tinggi dan sasaran ‘Net Zero’, kita tidak mahu membiarkan sumber bernilai ini kekal sebagai sisa, sebaliknya dimanfaatkan semula untuk pembangunan ekonomi dan kemampanan negara.
“Peningkatan keupayaan pemprosesan tempatan bukan hanya mengubah pendekatan pengumpulan sisa, malah memberi nilai tambah kepada ekonomi yang lebih meluas melalui pembangunan industri hijau,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pelaburan itu juga mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan kimia dan teknologi hijau.
Ini sekali gus menyokong pengurusan sisa bateri secara lebih sistematik, mengurangkan pencemaran alam sekitar dan memperkukuh ekonomi kitaran negara.
Katanya, keupayaan pemprosesan berskala besar itu juga dijangka menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan terhadap gangguan rantaian bekalan global.
Khususnya melibatkan sumber mineral kritikal seperti litium, kobalt dan nikel yang penting kepada industri tenaga boleh baharu dan kenderaan elektrik.
Tambah beliau, pelaburan itu juga mengurangkan kebergantungan kepada import asing dan memperkukuh rantaian bekalan domestik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Econili, Jayden Goh berkata fasiliti yang beroperasi sejak 2019 itu menumpukan pemulihan logam daripada bateri litium-ion terpakai, sisa logam campuran, bahan dikenali sebagai black mass serta pemprosesan semula bahan bateri.
“Keupayaan memproses sehingga 24,000 tan bateri terpakai setahun ini penting bagi memastikan pelupusan bateri, termasuk bateri kenderaan elektrik, dapat diurus secara selamat dan mampan,” katanya
Bahan yang dipulihkan hasil proses berkenaan akan disalurkan semula ke sektor penyimpanan tenaga, termasuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), bagi menyokong kestabilan grid tenaga boleh baharu negara
Pelaburan itu selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi mampan, penyahkarbonan sektor pembuatan serta peningkatan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan industri hijau berimpak tinggi.