10 pegawai, 37 militan terbunuh dalam pertempuran di Pakistan

Foto AFP

ISLAMABAD, 31 Januari – Sekurang-kurangnya 10 pegawai keselamatan dan 37 militan terbunuh apabila kumulan pemisah etnik Baloch melancarkan serangan “terkoordinasi” di seluruh wilayah Balochistan, Pakistan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan terkoordinasi di Balochistan mengakibatkan kematian ramai, termasuk pegawai keselamatan dan militan.
  • Pemberontak BLA mengaku bertanggungjawab, mensasarkan kemudahan tentera, polis dan pentadbiran awam.
  • Kerajaan puji tindakan keselamatan; perkhidmatan mudah alih, lalu lintas dan kereta api terganggu.

Menurut pegawai kanan keselamatan, serangan itu dilancarkan di lebih 12 lokasi.

“37 pengganas telah dihapuskan. Sepuluh anggota keselamatan turut terkorban manakala beberapa yang lain cedera,” katanya.

Serangan itu merupakan keganasan terbaharu di wilayah barat daya yang dilanda pemberontakan.

Seorang pegawai kanan tentera yang berpangkalan di Islamabad mengesahkan serangan itu, sambil menambah ia “diselaraskan tetapi gagal dilancarkan dengan berkesan”.

Ia disebabkan oleh perancangan yang lemah dan ditepis dengan pantas di bawah tindak balas keselamatan yang berkesan.

Pemisah juga didakwa telah membunuh Timbalan Pesuruhjaya Daerah Nushki.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif memuji pasukan keselamatan kerana menggagalkan serangan terbabit.

“Saya, bersama seluruh negara, berbangga dengan para syuhada kami.

“Kami akan meneruskan perang menentang keganasan sehingga mereka dihancurkan sepenuhnya dari negara ini,” kata Sharif dalam satu kenyataan yang menuduh India menyokong pemisah.

Perkhidmatan telefon bimbit telah tersekat dan lalu lintas terganggu di daerah yang terjejas, manakala perkhidmatan kereta api telah digantung di seluruh wilayah.

Tentera Pembebasan Baloch (BLA), kumpulan pemisah militan paling aktif di wilayah itu, mengaku mendalangi serangan tersebut.

Kumpulan itu mendakwa menyasarkan kemudahan tentera dan pegawai polis serta pentadbiran awam, sambil menambah bahawa lebuh raya utama juga disekat untuk mengganggu operasi ketenteraan. – AFP

 

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan