
KUALA NERUS, 31 Januari -Kesalahan tidak memakai topi keledar dalam kalangan penunggang motosikal di Terengganu meningkat sepanjang dua tahun kebelakangan ini.
- Peningkatan kes tidak memakai topi keledar di Terengganu memberi kebimbangan akibat risiko kemalangan dan kecederaan yang tinggi.
- Operasi Khas Motosikal mengeluarkan 2,351 saman sejak 1 Januari, termasuk 248 kes tidak memakai topi keledar.
- Penguatkuasaan diperketatkan, fokus pada kesalahan berisiko tinggi dan lokasi panas bagi mengurangkan kemalangan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, peningkatan ketara atas kesalahan itu telah mencetuskan kebimbangan.
Katanya, sebanyak 2,351 saman dikeluarkan menerusi ops khas motosikal sejak 1 Januari lalu dengan lebih 1,000 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai topi keledar iaitu 248 kes.
“Antara perkara pertamanya, apabila bercakap mengenai topi keledar ini. Dilihat mereka ini jalan-jalan pusing kampung. Itu saya kata cara pemikiran. Mereka melihat laluan di kawasan Terengganu ini adalah kawasan kampung. Betul. Kita rasa ini adalah kampung kita.
“Tetapi laluan itu dah melalui satu kepesatan yang sangat drastik dan laluan trafik bercampur ini telah semakin sibuk. Ini risiko. Kita tak boleh anggap apabila kawasan itu kawasan kita, kita dah biasa. Kita anggap itu adalah kawasan yang selamat. Tidak. Dengan kepadatan kenderaan yang tinggi, risiko kemalangan dan kecederaan disebabkan ini adalah sangat kritikal,” katanya kepada pemberita dalam Operasi Khas Motosikal di Pantai Seberang Takir, di sini.
Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata, operasi khas motosikal terus dipergiat bagi mengekang risiko kemalangan dan kecederaan serius di jalan raya.
Ia memfokuskan kesalahan berisiko tinggi termasuk menunggang tanpa lesen memandu kompeten, gagal memakai topi keledar, pengubahsuaian motosikal, serta kesalahan teknikal dan cukai jalan.
Beberapa lokasi turut dikenal pasti sebagai kawasan berisiko antaranya Jalan Bukit Payong–Telemong, Jalan Durian Burung ke Manir, Wakaf Beruas, Teluk Ketapang dan kawasan Losong.