
KUALA LUMPUR, 29 Januari – Seorang pegawai imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan gagal melaporkan pemberian suapan berjumlah RM5,100 bagi membantu melepaskan warga asing daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, dua tahun lepas.
- Pegawai imigresen didakwa atas tujuh pertuduhan gagal lapor suapan RM5,100 untuk melepaskan warga asing dari pemeriksaan JIM di KLIA.
- Tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
- Dakwaan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 membawa hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan syarat penjamin, penyerahan pasport dan lapor diri SPRM setiap dua bulan.
Mohd Rahmat Mat Yusoff, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketujuh-tujuh pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketujuh, Mohd Rahmat didakwa sebagai Pegawai Imigresen Gred KP22 yang bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia telah diberikan suapan, iaitu wang berjumlah RM5,100 secara pemindahan dalam talian daripada akaun bank milik seorang lelaki ke akaun bank tertuduh, sebagai dorongan bagi membantu melepaskan warga asing daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2.
Bagaimanapun, Mohd Rahmat gagal melaporkan pemberian suapan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis paling hampir di sebuah bank di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Putrajaya antara 28 Jun hingga 16 Ogos 2024.
Pegawai imigresen itu dituduh mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM10,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri dua bulan sekali di SPRM berhampiran, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sementara itu, peguam Nik Mohamaed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan kira-kira RM5,000 atas alasan anak guamnya mempunyai seorang isteri tidak bekerja serta tiga anak berusia antara 13 hingga 18 tahun.
“Pihak pembelaan tidak membantah syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan. Selain mengambil kira anak guam saya telah berkhidmat di Jabatan Imigresen hampir 25 tahun,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan. Rosli menetapkan 27 Februari untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.- BERNAMA