
KOTA BHARU, 29 Januari – Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM200 juta setahun bagi pelaksanaan Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) atau BAS.My di seluruh negara.
- Lebih RM200 juta setahun diperuntukkan untuk pelaksanaan BAS.My di seluruh negara bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan.
- BAS.My menunjukkan sambutan menggalakkan dengan trend peningkatan pengguna sejak pelancaran di beberapa bandar sejak 2015.
- BAS.My Kota Bharu melibatkan 16 laluan, 11 PBT dan 64 bas, dengan rancangan pengembangan ke Kota Kinabalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sambutan terhadap perkhidmatan bas berkenaan amat menggalakkan dan menunjukkan trend peningkatan, setakat ini.
Tambahnya, dengan peruntukan yang disalurkan, kerajaan berharap lebih ramai pengguna memanfaatkan perkhidmatan BAS.My.
“Ini bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan di mana lebih ramai pengguna akan membantu menurunkan purata kos bagi setiap penumpang, dan akhirnya memberi manfaat kepada rakyat Kelantan,” katanya selepas Pelancaran BAS.My Kota Bharu yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di sini, hari ini.
Menurut Loke, program itu bermula di Seremban dan Kangar pada 2015 serta Ipoh pada 2016 sebelum diperluaskan ke beberapa ibu negeri lain termasuk Kuala Terengganu, Johor Bahru, Melaka, Kota Setar, Kuching, Kota Bharu dan Kuantan.
“Perkhidmatan ini juga akan dikembangkan ke Kota Kinabalu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata BAS.My Kota Bharu melibatkan 16 laluan di 11 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Operasi perkhidmatan ini disokong oleh 64 bas dan kita berharap Kelantan menjadi negeri dengan jumlah penumpang tertinggi menggunakan perkhidmatan bas ini,” katanya.