Isu ‘Ali Baba’: DBKL batal lesen, rampas ribuan barangan

Foto FB DBKL

PARLIMEN, 29 Januari – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperhebat tindakan penguatkuasaan terhadap perniagaan warga asing tanpa permit sah sebagai langkah melindungi kepentingan peniaga tempatan serta memastikan aktiviti perniagaan di ibu kota dijalankan secara teratur dan berlesen.

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL perhebat penguatkuasaan terhadap perniagaan warga asing tanpa permit sah bagi lindungi peniaga tempatan.
  • 1,632 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik yang menggaji pekerja asing tanpa permit.
  • DBKL batalkan 31 lesen, tutup 113 premis dan sita 4,513 barangan berkaitan perniagaan haram.
  • 49 operasi KL Strike Force dilaksanakan bersama imigresen, PDRM, KPDN dan agensi lain.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui, berkata sepanjang tahun 2025, DBKL melaksanakan operasi harian dan khas secara bersepadu, termasuk mengeluarkan 1,632 notis kompaun kepada pemilik tempatan yang menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah.

Beliau menjelaskan, tindakan tersebut diambil di bawah pelbagai undang-undang kecil berkaitan pelesenan penjaja, perniagaan, perindustrian serta petempatan makanan.

“Antara isu utama dikenal pasti ialah penyalahgunaan lesen melalui amalan ‘Ali Baba’, di mana premis berlesen dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, di Dewan Rakyat hari ini.

Sebagai langkah tegas, DBKL telah melaksanakan 113 tindakan penutupan premis, membatalkan 31 lesen pemilik tempatan, selain menjalankan 4,513 tindakan sitaan terhadap warga asing yang terlibat dalam perniagaan haram.

Dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan bersepadu, DBKL turut melaksanakan 49 siri operasi KL Strike Force sepanjang 2025, melibatkan kerjasama strategik dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) serta agensi berkaitan lain.

Datuk Lo menegaskan DBKL kekal komited memastikan persekitaran perniagaan di Kuala Lumpur dilaksanakan secara sah, adil dan teratur, dengan keutamaan diberikan kepada warganegara, selaras aspirasi mengekalkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf antarabangsa.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan