MOT lancar PSA kesedaran keselamatan di landasan kereta api bersama FINAS

Foto FB KTM Berhad

ULU KELANG, 27 Januari – Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkolaborasi dalam memperkukuhkan agenda keselamatan pengangkutan rel negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran video PSA oleh KTMB dan FINAS bertujuan memperkukuh budaya keselamatan pengangkutan rel.
  • PSA menekankan bahaya pencerobohan landasan, lintasan haram, vandalisme dan kecurian kabel terhadap nyawa.
  • Kecurian kabel menyebabkan kerugian besar dan gangguan operasi tren, menjejaskan perkhidmatan penumpang.
  • Akta Kereta Api 1991 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 mengenakan hukuman terhadap pencerobohan dan vandalisme.

Ia menerusi pelancaran video pesanan khidmat awam (PSA) kesedaran keselamatan di landasan kereta api oleh Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata penghasilan video PSA tersebut mencerminkan komitmen berterusan KTMB dan kerajaan dalam memperkukuh budaya keselamatan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mematuhi peraturan di kawasan landasan kereta api.

“Video PSA ini berfungsi sebagai medium komunikasi strategik untuk menyampaikan mesej keselamatan yang jelas, tegas dan berimpak tinggi kepada masyarakat. Fokus utama adalah kepada bahaya pencerobohan landasan, penggunaan lintasan haram, vandalisme dan kecurian kabel yang mengancam nyawa serta keselamatan awam,” jelas beliau pada sidang media selepas Majlis Pelancaran PSA di FINAS, di sini hari ini.

Kesan daripada kecurian kabel mengakibatkan kerugian sejumlah RM 4,422,999.00 termasuk menjejaskan operasi KTMB yang mencatatkan purata sebanyak 24,891 minit gangguan pada tahun 2025.

Akibat insiden berkenaan, KTMB terpaksa menanggung kerugian operasi yang besar melibatkan kos pembaikan, penyelenggaraan sistem serta gangguan perkhidmatan tren, sekali gus menyebabkan kelewatan perjalanan dan ketidakselesaan penumpang.

Dalam pada itu Datuk Hasbi turut menegaskan perbuatan pencerobohan dan vandalisme merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kereta Api 1991 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang boleh dikenakan denda, hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.

KTMB turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk masyarakat awam, pemilik ternakan dan komuniti setempat agar sentiasa mematuhi peraturan keselamatan di kawasan landasan kereta api.

Dengan penggunaan media sosial dan medium kreatif, kerajaan yakin mesej keselamatan tersebut dapat disampaikan dengan lebih meluas dan berkesan demi mewujudkan persekitaran pengangkutan rel yang selamat, cekap dan dipercayai untuk rakyat dan negara.