
KUALA LUMPUR, 26 Januari – Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 digerakkan menerusi 10 teras utama bagi memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara agar lebih relevan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
- Menekankan kecemerlangan akademik dan pembentukan masyarakat holistik beridentiti nasional.
- Memastikan akses pendidikan tinggi lebih inklusif serta mengambil kira peranan TVET.
- Menjadikan Malaysia hab pendidikan global dan peneraju penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan teknologi.
- RPTM sebagai dokumen hidup bergantung kepada pelaksanaan berterusan dan komitmen semua pihak.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Sufian Jusoh, berkata RPTM bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah memberi tumpuan kepada pembentukan masyarakat holistik beridentiti nasional serta memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif.
“RPTM 2026-2035 turut mengambil kira kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan global serta peneraju dalam penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Kota Media, Angkasapuri, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan universiti tempatan kini menunjukkan peningkatan ketara dari segi kemudahan dan kualiti pendidikan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, beberapa universiti tempatan berjaya tersenarai dalam kelompok 200 terbaik dunia berdasarkan penarafan QS World University Rankings.
Manakala UKM mencatat pencapaian apabila beberapa bidang pengajian termasuk undang-undang dan pendidikan Islam berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.
“Kedudukan ini menjadi tarikan kepada pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian, menjalankan mobiliti akademik serta menjalin kerjasama penyelidikan dengan universiti di Malaysia,” katanya.
Selain itu, beliau berkata RPTM turut menekankan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi terkemuka dunia, di samping peranan Malaysia membantu negara serantau dan negara membangun meningkatkan kualiti pendidikan serta penyelidikan.
Dalam jangka panjang, RPTM 2026-2035 disasarkan membentuk Malaysia sebagai negara maju berteraskan nilai, etika dan jati diri nasional, selain memacu negara sebagai hab teknologi termaju termasuk semikonduktor, teknologi kuantum dan kecerdasan buatan.
Beliau menegaskan RPTM merupakan dokumen hidup yang akan sentiasa ditambah baik mengikut keperluan semasa, dan kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan berterusan serta komitmen semua pihak.