KPM perkasa pendidikan awal bendung keciciran murid

Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Kementerian Pendidikan (KPM) terus menekankan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah, bagi memastikan tiada murid tercicir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluasan akses pendidikan awal untuk keluarga berpendapatan rendah bagi memastikan tiada murid tercicir.
  • Peningkatan bilangan kelas prasekolah di pelbagai jenis institusi termasuk sekolah menengah dan kolej.
  • Peruntukan RM338 juta bawah RMK13 tahun 2026 untuk pembinaan kelas prasekolah baharu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata peluasan itu terutamanya di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi dan membabitkan golongan berpendapatan rendah sebagai usaha memperluas akses pendidikan awal, selaras dengan agenda reformasi pendidikan negara.

“Ini menjadikan jumlah 10,514 kelas prasekolah bawah KPM yang sedang beroperasi di 6,469 buah sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara. Pada tahun ini, seramai 214,122 murid prasekolah sedang mengikuti kelas prasekolah di institusi di bawah KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkenaan perancangan Kerajaan dalam persediaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, di Dewan Rakyat hari ini.

Peluasan kelas prasekolah bukan sahaja melibatkan sekolah rendah, tetapi juga sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi serta institusi pendidikan guru.

Selain itu, pembinaan kelas prasekolah baharu diteruskan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM338 juta bagi tahun 2026. Langkah itu penting bagi membendung keciciran murid sejak peringkat awal pendidikan.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan