Kerajaan laksana tujuh langkah konkrit pelihara kebajikan peneroka FELDA

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang bercakap pada Kamar Khas di Bangunan Parlimen/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Januari – Kerajaan sedang melaksanakan tujuh langkah konkrit bagi memastikan kebajikan serta kepentingan peneroka  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terus dipelihara, termasuk memperkukuhkan mandat undang-undang berkaitan agensi berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan melaksanakan tujuh langkah untuk memperkukuh mandat undang-undang dan peranan FELDA melalui reformasi akta berkaitan.
  • Penyelarasan antara FELDA dan anak syarikat ditingkatkan untuk hala tuju strategik seragam, struktur teratur dan kecekapan operasi lebih tinggi.
  • Fokus kepada penyelesaian isu legasi, rundingan pemilikan tanah dengan negeri, dan penstrukturan kewangan bagi kestabilan dan pulangan lebih baik.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kerajaan kini melaksanakan reformasi terhadap akta berkaitan seperti Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 atau Akta GSA bagi memperkemaskan peranan FELDA.

Jelasnya, langkah itu bertujuan menjelaskan hubungan perundangan antara FELDA dan peneroka, selain menyesuaikan kerangka perundangan sedia ada dengan keperluan generasi baharu peneroka serta landskap ekonomi semasa.

“Langkah ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber, mengelakkan pertindihan fungsi dan juga meningkatkan prestasi keseluruhan kumpulan Felda. Pendekatan penyelesaian secara rundingan dan penstrukturan semula dilaksanakan bagi mengurangkan risiko jangka panjang serta memulihkan kestabilan institusi.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa pada sesi Kamar Khas di Parlimen hari ini.

Datuk Rubiah turut memaklumkan kerajaan telah memperkukuhkan penyelarasan antara FELDA dan anak-anak syarikat supaya seluruh kumpulan dapat bergerak dengan hala tuju strategik yang seragam, struktur organisasi yang lebih tersusun serta kecekapan operasi yang lebih tinggi.

Selain itu, penyelesaian isu legasi dan perundangan termasuk beban warisan seperti litigasi tuntutan kontrak serta obligasi tertangguh yang memberi kesan kepada kedudukan kewangan FELDA turut menjadi antara fokus utama kerajaan.

Dalam masa sama, rundingan secara aktif dengan kerajaan negeri terus dijalankan bagi memuktamadkan isu pemilikan dan pentadbiran tanah FELDA, yang penting bagi melancarkan operasi ladang, mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta menarik pelabur strategik demi kepentingan peneroka.

Kerajaan juga melaksanakan penstrukturan kewangan bagi mewujudkan imbangan kewangan yang lebih kukuh melalui peningkatan pulangan operasi, pengoptimuman struktur kos dan pengurusan aliran tunai yang lebih berdisiplin.