
PUTRAJAYA, 21 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merancang menggubal dan meminda beberapa undang-undang bagi memperkukuh perlindungan pengguna.
- Menggubal dan meminda undang-undang e-dagang untuk melindungi pengguna daripada barangan tidak menepati kualiti dan kuantiti yang dijanjikan.
- Memperkenal peruntukan Lemon Law dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk penyelesaian tuntutan tebus rugi kenderaan baharu.
- Pemindaaan Akta Persaingan 2010 dan penggubalan undang-undang harta alih bercagar untuk membanteras kartel dan monopoli.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd.Ali berkata, KPDN bercadang meminda undang-undang e-dagang susulan peningkatan aduan pengguna, selain memperkukuh kawal selia jualan langsung dan skim antipiramid.
“Kita sedang melihat bentuk kawal selia yang perlu dilaksanakan supaya kepentingan pengguna dilindungi khususnya apabila pembelian dibuat melalui platform e-dagang agar barangan yang diterima menepati kualiti dan kuantiti yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis perutusan KPDN 2026 di Putrajaya.
Turut menjadi fokus ialah penggubalan peruntukan Lemon Law di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi menyelesaikan pertikaian tuntutan tebus rugi pembelian kenderaan baharu.
Kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada lima kluster reformasi undang-undang dan institusi KPDN yang disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Selain itu, undang-undang berkaitan harta alih bercagar akan digubal serta Akta Persaingan 2010 bakal dipinda untuk memperkasakan kuasa Suruhanjaya Persaingan dalam membanteras kartel dan monopoli.