
JOHOR BAHRU, 21 Januari – Kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus diperkukuh bagi menangani ancaman keselamatan siber serta jenayah berkaitan kemudahan digital.
- Perkukuhan kerjasama strategik PDRM dan MCMC untuk tangani ancaman keselamatan siber dan jenayah digital.
- Perkongsian risikan dan data selamat serta penyelarasan tindakan membuahkan kejayaan tangkapan suspek.
- Latihan bersama dan pembangunan keupayaan pegawai dalam keselamatan siber perlu dipertingkat.
- Program advokasi dan kesedaran awam diperkasa untuk tingkatkan celik digital masyarakat.
Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, antara cabaran utama ketika ini melibatkan kes penipuan dalam talian serta penyalahgunaan platform digital.
Menurut beliau, keberkesanan kerjasama itu terbukti apabila suspek kes pecah masuk pusat sebaran rakyat (NADI) berjaya ditahan baru-baru ini hasil perkongsian risikan dan penyelarasan tindakan antara PDRM dan MCMC.
“Hubungan antara PDRM dan MCMC wajar terus diperkukuh melalui beberapa pendekatan strategik, antaranya memperluaskan perkongsian data dan risikan secara selamat serta berstruktur.
“Selain itu, latihan bersama serta pembangunan keupayaan pegawai dalam bidang keselamatan siber dan teknologi digital perlu dipertingkat, di samping memperkasa program advokasi dan kesedaran awam agar masyarakat lebih celik digital,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi MCMC bersama PDRM serta Taklimat Keselamatan kepada petugas NADI Negeri Johor.
Johor kini mempunyai 110 pusat NADI dengan sokongan 101 orang petugas di seluruh negeri.