Pencalonan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia bukan inisiatif kerajaan

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 21 Januari – Inisiatif pencalonan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia bukan digerakkan oleh kerajaan, sebaliknya merupakan usaha badan profesional, International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencalonan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia diusahakan oleh ICOMOS Malaysia, bukan inisiatif kerajaan.
  • KPKT tidak terlibat langsung tetapi menyokong usaha profesional dan menyediakan khidmat penghubung.
  • Status Warisan Dunia berpotensi memberi pengiktirafan budaya, menarik pelancongan dan merancakkan ekonomi setempat.
  • KPKT melaksanakan 858 projek pembangunan Kampung Baru Cina pada 2025, termasuk pembaikan rumah dan infrastruktur.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak terlibat secara langsung dalam proses pencalonan tersebut, namun menyokong penuh usaha pemeliharaan warisan yang dilaksanakan secara profesional dan berlandaskan kepakaran.

Menurut beliau, status Tapak Warisan Dunia bukan sahaja mampu memberikan pengiktirafan global terhadap nilai budaya dan sejarah negara, malah berpotensi meningkatkan daya tarikan pelancongan serta menjana aktiviti ekonomi setempat.

“Kementerian menyokong usaha murni pertubuhan profesional ini untuk mencalonkan mana-mana kampung sebagai tapak warisan dunia. KPKT juga bersedia bertindak sebagai penghubung antara pertubuhan profesional dan pemimpin tempatan berkaitan bagi memastikan usaha tersebut dapat dilaksanakan secara berkesan dan bersepadu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nga memaklumkan sebanyak 858 projek pembangunan Kampung Baru Cina berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2025 melibatkan peruntukan keseluruhan RM100.5 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 560 projek merangkumi penyediaan dan naik taraf kemudahan serta infrastruktur asas seperti jalan, sistem perparitan, balai raya dan pelbagai kemudahan awam lain.

Selain itu, sebanyak 279 buah rumah penduduk Kampung Baru Cina yang daif dan uzur telah dibaik pulih menerusi Program Bantuan Baik Pulih Rumah Kampung Baru.

“KPKT turut membina 19 buah rumah di bawah Program Rumah MADANI Rakyat Kampung Baru bagi membantu penduduk miskin tegar. Kementerian juga meluluskan 11 program pembangunan sosioekonomi dengan peruntukan RM2.49 juta pada tahun 2025, yang memberi manfaat kepada 1,895 penduduk termasuk usahawan Kampung Baru,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, bagi perkampungan kaum India, sebanyak 50 buah kampung telah menerima peruntukan pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan awam, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 22,000 penduduk.

Tambahnya, usaha menaik taraf kemudahan asas dan sosial di Kampung Baru Cina serta perkampungan kaum India akan diteruskan dengan peruntukan tambahan berjumlah RM87 juta.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan