Penduduk Kyiv berlindung di khemah kecemasan susulan serangan Rusia

Khemah yang didirikan berhampiran kawasan terjejas untuk memberi perlindungan sementara kepada penduduk / REUTERS

KYIV, 21 Januari -Penduduk ibu negara Ukraine terpaksa berlindung di khemah kecemasan selepas serangan udara Rusia menyebabkan gangguan bekalan elektrik, air dan sistem pemanasan di beberapa kawasan bandar itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Khemah kecemasan disediakan berhampiran kawasan terjejas bagi memberi air panas, bekalan elektrik terhad dan perlindungan sementara.
  • Gangguan serentak kepada pemanasan, air dan elektrik memaksa penduduk anggap situasi tidak boleh ditanggung di rumah.
  • Sesetengah keluarga mempertimbangkan berpindah atau membawa bekalan kuasa mudah alih untuk hadapi gangguan berterusan.

Gangguan berkenaan mengakibatkan blok kediaman terputus bekalan asas ketika suhu berada bawah paras beku.

Khemah kecemasan didirikan berhampiran kawasan terjejas bagi menyediakan air panas, bekalan elektrik terhad serta ruang perlindungan sementara kepada penduduk.

Seorang ibu, Iryna, 37 tahun berkata, keadaan kali ini paling sukar kerana semua kemudahan asas terputus serentak.

“Tiada sistem pemanasan, tiada air dan tiada elektrik. Dalam keadaan ini, kami tidak boleh bertahan di rumah,” katanya.

Beliau bagaimanapun memilih untuk terus kekal di Kyiv bersama dua anaknya dengan harapan keadaan akan bertambah baik.

Sementara itu, pereka grafik, Dariia Shtul, 21 tahun memberitahu, keluarganya mempertimbangkan untuk berpindah ke luar bandar sekiranya gangguan sistem pemanasan berlarutan.

Penduduk lain turut membawa bekalan kuasa mudah alih bagi membantu ahli keluarga menghadapi gangguan bekalan elektrik yang berterusan.

Serangan terhadap infrastruktur asas terus menjejaskan kehidupan harian penduduk Kyiv ketika konflik di Ukraine masih berlarutan. -REUTERS