Tanah terbiar dan rezab bandar dimanfaatkan untuk pertanian bandar

Program dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi serta pelbagai jabatan kerajaan dan pertubuhan wanita/Foto UM

KUALA LUMPUR, 19 Januari -Tanah terbiar dan tanah rezab bandar kini dimanfaatkan sebagai inisiatif penting untuk komuniti menghasilkan makanan sihat secara lestari, selain mengoptimumkan penggunaan ruang bandar yang kurang dimanfaatkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemanfaatan tanah terbiar dan rezab bandar untuk pengeluaran makanan sihat secara lestari.
  • Pertanian bandar sebagai platform pembelajaran, interaksi sosial dan pemberdayaan komuniti.
  • Inovasi teknologi hijau termasuk kompos, racun perosak organik dan penjimatan air diterapkan.
  • Program melibatkan komuniti, pelajar universiti, industri dan NGO dengan aktiviti praktikal di kebun.

Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia, yang juga Pensyarah Universiti Malaya Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah berkata, pendekatan pertanian bandar bukan sahaja menyumbang kepada bekalan makanan setempat, malah berperanan sebagai platform pembelajaran, menggalakkan interaksi sosial dan memperkasakan komuniti.

“Ia sejajar dengan aspirasi Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dalam membangunkan bandar hijau yang mampan. Di Malaysia, hampir 78 peratus penduduk menetap di kawasan bandar, menjadikan inisiatif pertanian bandar semakin relevan dalam menyokong kelestarian makanan negara,” katanya.

Sehubungan itu, program bertajuk “Inovasi Teknologi Hijau Pemangkin Tanah Sihat, Bandar Sejahtera” telah berlangsung di Kebun Komuniti Sejahtera Rasah Kemayan.

Program itu berjaya menarik penyertaan lebih 30 orang peserta terdiri daripada komuniti setempat, pelajar universiti, wakil industri, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Keunikan program berkenaan terletak pada pendekatan perkongsian ilmu dua hala, yang menggabungkan penerangan saintifik, pembangunan inovasi oleh pelajar Universiti Malaya, serta aktiviti praktikal secara langsung di kebun komuniti.

“Peserta diberi pendedahan kepada aplikasi sebenar teknologi pertanian hijau yang boleh dilaksanakan di persekitaran bandar menggunakan sumber tempatan dengan kos berpatutan,” menurutnya lagi.

Antara inovasi yang diperkenalkan termasuk penghasilan kompos daripada sisa organik untuk meningkatkan kesuburan tanah, mengurangkan sisa makanan ke tapak pelupusan serta menurunkan pelepasan gas rumah hijau.

Turut dikongsi adalah teknologi penghasilan racun perosak organik, penggunaan baja mesra alam, sistem penjimatan air, serta teknik pembiakan tanaman secara bersepadu.

Selain itu, demonstrasi masakan berasaskan bayam brazil turut diadakan untuk menonjolkan potensi tanaman bandar sebagai sumber pemakanan berkhasiat dan lestari.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan