
WASHINGTON, 18 Januari – Ketua minoriti Demokrat di Senat Amerika Syarikat (AS), Chuck Schumer, berkata beliau akan berusaha untuk menyekat tarif yang diancam oleh Presiden Donald Trump terhadap sekutu Eropah berhubung pertikaian Greenland, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
- Ketua minoriti Demokrat Senat Chuck Schumer akan berusaha memperkenalkan perundangan untuk menyekat tarif Trump terhadap sekutu Eropah.
- Trump mengancam mengenakan tarif 10% ke atas import dari lapan negara Eropah, meningkat kepada 25% jika tiada perjanjian mengenai Greenland.
- Pertikaian itu dikecam bipartisan di Kongres sebagai merosakkan ekonomi, menaikkan kos sara hidup dan menguntungkan musuh seperti Rusia serta China.
“Tarif melulu Donald Trump telah pun menyebabkan kenaikan harga dan merosakkan ekonomi kita dan kini beliau hanya memburukkan lagi keadaan,” kata Schumer dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
“Adalah sukar dipercayai bahawa beliau mahu menggandakan kebodohan ini dengan mengenakan tarif ke atas sekutu rapat kita demi usahanya yang tidak realistik untuk mengambil alih Greenland,” katanya.
“Demokrat Senat akan memperkenalkan perundangan untuk menyekat tarif ini sebelum ia mendatangkan kerosakan lanjut kepada ekonomi Amerika dan sekutu kita di Eropah.”
Trump sebelum ini mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari lapan negara Eropah bermula 1 Feb, dengan memetik perselisihan faham mengenai Greenland.
Dalam satu hantaran di Truth Social, Trump berkata tarif itu akan dikenakan ke atas semua barangan yang dihantar ke AS dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom, Belanda, dan Finland. Beliau berkata ia akan meningkat kepada 25 peratus mulai 1 Jun jika tiada perjanjian dicapai “untuk pembelian Lengkap dan Menyeluruh Greenland” oleh AS.
Tentangan terhadap ancaman tarif Trump juga muncul di bahagian lain dalam Kongres AS.
Dua pengerusi bersama Kumpulan Pemerhati NATO dwipartisan Senat, Senator Demokrat Jeanne Shaheen dan Senator Republikan Thom Tillis, memberi amaran bahawa retorik sedemikian akan memberi manfaat kepada pihak lawan seperti Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping, “yang mahu melihat NATO berpecah.”
“Pada masa ramai rakyat Amerika sudah bimbang tentang kos sara hidup, tarif ini akan menaikkan harga untuk keluarga dan perniagaan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, sambil menggesa pentadbiran untuk “menghentikan ancaman dan menggunakan diplomasi.”
Presiden AS itu telah berulang kali menyatakan dengan jelas bahawa Washington mahu memperoleh Greenland, satu langkah yang ditentang hebat oleh rakan kongsi NATO di Eropah.
Greenland sebahagian besarnya mempunyai kuasa autonomi dan merupakan sebahagian daripada wilayah Denmark, sebuah negara anggota NATO. – BERNAMA-dpa