
PUTRAJAYA, 15 Januari -Usaha membangunkan ekosistem perlindungan dan kebajikan pekerja lebih menyeluruh giat dilaksanakan menerusi pendigitalan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).
- Pendigitalan PERKESO membina hab bersepadu untuk memudahkan urusan kira-kira 17 juta tenaga kerja.
- Platform meliputi perlindungan sosial, latihan kemahiran, caruman dan pengendalian isu berkaitan pekerja.
- Pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 secara berfasa menjadi fokus bagi menangani cabaran pekerja gig.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, inisiatif bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu melibatkan pewujudan sebuah hab atau platform bersepadu bagi memudahkan urusan kira-kira 17 juta tenaga kerja di seluruh negara.
Menurut beliau, platform berkenaan merangkumi pelbagai aspek termasuk perlindungan sosial, latihan kemahiran, caruman serta pengendalian isu-isu berkaitan pekerja.
“KESUMA mempunyai tanggungjawab besar kerana kita menjaga keseluruhan tenaga kerja negara. Justeru, memang menjadi sasaran utama kami tahun ini untuk memperkukuh aspek pendigitalan.
“Kami benar-benar berharap usaha ini dapat direalisasikan demi menyediakan satu ekosistem yang komprehensif dan berkualiti kepada para pekerja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Amanat Tahun Baharu KESUMA 2026, di sini.
Selain itu, beliau berkata pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang akan dilaksanakan secara berfasa tahun ini turut menjadi antara fokus utama kementerian, khususnya bagi menangani cabaran yang dihadapi pekerja gig.