
JOHOR BAHRU, 13 Januari – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket dadah dengan rampasan dianggarkan bernilai RM1.45 juta, menerusi serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, di sini Jumaat lalu.
- Serbuan rumah di Taman Bukit Indah berjaya menumpaskan sindiket dadah dengan rampasan besar.
- Polis menahan lima lelaki berumur 43 hingga 53 tahun, termasuk seorang ketua sindiket.
- Rampasan melibatkan 21.75 kilogram dadah bernilai kira-kira RM1.45 juta.
- Semua suspek positif Metamphetamin dan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, lima lelaki berumur 43 hingga 53 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan turut berjaya diberkas.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 21.75 kilogram (kg). Siasatan awal mendapati suspek pertama berperanan sebagai ketua sindiket,
manakala suspek kedua hingga kelima, adalah ahli sindiket dadah yang dikesan aktif sejak Ogos lalu.
“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan rumah terlibat sebagai tempat penyimpanan dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Menurutnya, ujian awal saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif Metamphetamin.
Semakan turut mendapati empat daripada suspek yang ditahan, mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
Beliau berkata, kelima-lima suspek kini direman sehingga 16 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.