TPM Zahid dijangka umum penubuhan organisasi luar politik

Timbalan Perdana Menteri berucap pada majlis penutup Multaqa Ilmuan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini/Foto RTM Zulfadli

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengumumkan penubuhan sebuah organisasi di luar lingkungan politik pada hari terakhir persidangan Perhimpunan UMNO (PAU) 2025, pada 17 Januari depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ahmad Zahid dijangka umum penubuhan organisasi di luar politik pada hari terakhir Perhimpunan UMNO, 17 Januari.
  • Cadangan organisasi itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan akan diumumkan secara rasmi di persidangan.
  • Beliau menyeru ulama guna Fiqh al-Mizan dan Fiqh al-Awlawiyyat untuk memimpin pemikiran ummah dengan hikmah.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, cadangan penubuhan organisasi berkenaan telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, sekali gus membolehkan pengumuman rasmi dibuat pada persidangan tersebut.

“Pada hari terakhir persidangan Perhimpunan Agong ini saya akan umumkan sesuatu iaitu sebuah organisasi di luar lingkungan politik.

“Saya cadangkan untuk kita menubuhkannya (organisasi) dan kabinet juga telah meluluskan…saya akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Multaqa Ilmuan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden UMNO tidak menolak kemungkinan menjemput parti-parti politik lain menghadiri Multaqa Ilmuan Islam Malaysia pada masa akan datang, sejajar usaha memperluas wacana ilmiah dan mengukuhkan perpaduan ummah di negara ini.

Sementara itu, Dr Ahmad Zahid dalam ucapannya menzahirkan harapan kepada para ulama dan ilmuan agar memainkan peranan lebih berwibawa dalam masyarakat menerusi kerangka manhaj Fiqh al-Mizan yang dibincangkan.

Beliau menegaskan ulama perlu menjadi pemandu arah pemikiran ummah dengan ilmu yang sahih, hujah beradab dan pendekatan berhikmah, bukan sekadar mengikut arus semasa.

“Setiap keputusan mesti ditimbang berasaskan Fiqh al-Mizan dan Fiqh al-Awlawiyyat, agar kebenaran dilaksanakan dengan kebijaksanaan, tanpa menambah mudarat kepada ummah dan negara,” kata beliau

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan