
LABUAN, 13 Januari – Hampir 10,000 akaun pengguna Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan terjejas akibat gangguan bekalan air yang berlaku sejak lebih seminggu lalu, susulan kejadian tiga paip utama pecah akibat pergerakan tanah di kawasan Bukit Besar.
- Hampir 10,000 akaun pengguna JBA Labuan terjejas akibat pecah tiga paip utama susulan pergerakan tanah di Bukit Besar.
- Bekalan air sedang disalurkan secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya selewat-lewatnya malam ini.
- Setakat ini 4,782 akaun telah menerima bekalan, manakala 4,898 akaun di kawasan tinggi masih belum pulih.
- Proses pemulihan dijalankan berperingkat untuk menstabilkan tekanan dan mengurangkan risiko kebocoran atau kegagalan semula.
Jabatan Bekalan Air Labuan dalam satu kenyataan memaklumkan bekalan air bersih kini sedang giat disalurkan secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya selewat-lewatnya malam ini.
Menurut notis pemakluman yang dikongsi menerusi Facebook rasmi JBA Labuan, setakat ini bekalan air telah berjaya disalurkan kepada 4,782 akaun pengguna.
“Sebanyak 4,898 akaun pengguna lain yang berada di kawasan berkedudukan tinggi masih belum menerima bekalan sepenuhnya berikutan proses pengisian paip agihan utama serta penstabilan tekanan dalam sistem.
“Proses pemulihan bekalan perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan sistem beroperasi dengan selamat serta mengurangkan risiko kebocoran atau kegagalan semula,” menurut kenyataan itu hari ini.
Antara kawasan yang terjejas termasuk District Metered Area (DMA) Layangan, IPS Pohon Batu, Pohon Batu, Kiansam, Sungai Labu, Bukit Kalam, Pancur Hitam Manikar dan Tanjung Aru.
Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan status bekalan air melalui saluran media sosial rasmi JBA Labuan.