KPM-PDRM perkasa kerjasama tangani buli di sekolah

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 12 Januari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkasa kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang jenayah buli di sekolah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama KPM dan PDRM melibatkan rondaan polis 24 jam termasuk ke asrama bagi pastikan keselamatan pelajar.
  • Pelaksanaan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan diperkenalkan dan ditandatangani semua pihak berkepentingan sekolah.
  • KPM sasar tiada kes buli pada 2026 melalui langkah perlindungan menyeluruh dan manual Sekolahku Sejahtera.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, kerjasama itu merangkumi rondaan 24 jam pihak polis ke dalam kawasan sekolah termasuk di sekitar asrama pelajar.

“Ketua Polis Negara sendiri telah memberikan keizinan, iaitu kereta peronda boleh datang ronda ke sekolah pada waktu malam sampai ke asrama.

“Jadi, kita akan buka pintu asrama, polis boleh meronda dan memastikan keadaan asrama kita selamat,” katanya selepas menjadi tetamu Bicara Naratif di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.

Katanya, sebagai langkah utama, ‘Child Protection Policy’ (CPP) atau Polisi Perlindungan Kanak-Kanak akan diperkenalkan dan ditandatangani oleh semua pihak berkepentingan di sekolah dalam masa terdekat.

Pelaksanaannya menjadi antara pembaharuan penting yang diperkenalkan KPM, selain penyediaan manual Sekolahku Sejahtera dan Sekolah Selamat yang kini berada pada peringkat akhir penyediaan.

Terdahulu, KPM menegaskan komitmen untuk memastikan tiada kes buli di sekolah bagi tahun 2026, dengan pelaksanaan langkah perlindungan menyeluruh yang melibatkan semua pihak di institusi pendidikan.

Komitmen itu dinyatakan Menterinya, Fadhlina Sidek yang turut menekankan bahawa isu keselamatan murid tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan kerjasama semua pihak.