
PUTRAJAYA, 12 Januari – Modul panduan dan tatakelola terbaik akan dirangka bagi membantu badan bukan kerajaan (NGO) Islam mentadbir terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan.
- Rangka modul panduan dan tatakelola terbaik untuk bantu NGO Islam urus kewangan dengan telus dan cekap.
- Berikan latihan dan pengetahuan khusus kepada kumpulan sasar bagi pengurusan dana dan pentadbiran.
- Tumpuan pada integriti dan amanah supaya sumbangan masyarakat diurus secara bertanggungjawab.
- Agensi agama perlu lebih proaktif dalam memberi kefahaman dan imej Islam yang progresif.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, latihan dan pengetahuan khusus akan diberikan kepada kumpulan sasar agar dana sumbangan masyarakat dapat diurus dengan lebih telus, cekap dan berintergriti.
“Kita bantu NGO Islam ini dengan persiapan pengetahuan pengurusan kewangan, pentadbiran tatakelola dan sebagainya kerana kita melihat keperluan ini sangat-sangat mendesak.
“Mereka ada liabiliti dan amanah yang dikongsikan, bermakna kami bukan sahaja menjawab isu, tapi kami sudah menyediakan satu solusi kepada masyarakat”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kes dakwaan penyalahgunaan dana oleh sebuah NGO yang melibatkan misi kemanusiaan luar negara.
Terdahulu, Dr Zulkifli menyampaikan Amanat Tahun Baharu Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) bertajuk ‘Mengemudi Perubahan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dalam Era Pasca Normal’ di Putrajaya.
Beliau turut menegaskan agensi agama kini tidak boleh hanya sekadar menjawab isu-isu agama yang lebih bersifat responsif dan defensif, sebaliknya perlu lebih proaktif memberi kefahaman agama kepada masyarakat sekali gus membawa imej Islam yang progresif dan berkemajuan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan ketua-ketua agensi berkaitan bersama hampir 1,000 kakitangan daripada 14 agensi Hal Ehwal Agama.