Kerjasama SPRM-universiti perkasa AI dalam forensik digital, analitik data

FOTO SPRM

PETALING JAYA, 12 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanfaatkan kepakaran universiti sebagai rakan strategik dalam pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkukuh tadbir urus dan usaha pencegahan rasuah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama SPRM dengan universiti tingkatkan pembangunan AI untuk forensik digital, analitik data dan etika teknologi.
  • MoU antara Monash Malaysia dan MACA SPRM gabungkan kepakaran akademik dan pengalaman praktikal untuk solusi siasatan inovatif.
  • Inisiatif fokus pada penyelidikan gunaan, dasar dan latihan menyokong peningkatan modal insan serta keberkesanan antirasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, teknologi AI mampu memperkasa pembangunan modal insan khususnya dalam bidang forensik digital, analitik data dan etika teknologi.

“SPRM memerlukan kepakaran akademik daripada universiti tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan keberkesanan usaha antirasuah, sejajar keperluan semasa yang menuntut pelaburan berterusan dalam pendidikan, penyelidikan dan teknologi,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Monash University Malaysia dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM di Petaling Jaya, hari ini.

Tambah beliau, kerjasama tersebut membolehkan gabungan pengalaman praktikal MACA SPRM dan kepakaran akademik universiti bagi membangunkan penyelesaian inovatif termasuk penambahbaikan sistem siasatan kes-kes kompleks agar dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.

Sementara itu, Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kerjasama berkenaan menyediakan platform kukuh untuk menterjemahkan kepakaran akademik kepada hasil praktikal melalui penyelidikan gunaan, dasar dan latihan di peringkat nasional.