Rasuah dalam tentera: MINDEF laksana penambahbaikan menyeluruh tahun ini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucaptama pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Januari – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan merombak sepenuhnya Pelan Anti Rasuah tahun ini sebagai langkah memperkukuh integriti, menambah baik tatakelola serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap sektor pertahanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • MINDEF akan merombak Pelan Anti Rasuah tahun ini bagi memperkukuh integriti, tatakelola dan memulihkan keyakinan rakyat.
  • Semua proses tender dan perolehan disemak semula untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan penguatkuasaan peraturan.
  • SPRM menyita aset bernilai besar dan tindakan disiplin serta kerjasama dengan pihak berkuasa akan dijalankan terhadap kes rasuah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata semua proses tender dan perolehan akan disemak semula selaras dengan amalan terbaik bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

“Kita akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan yang tepat dan berasas. Kita percaya isu ini perlu dibanteras, dan atas sebab itu saya telah menggariskan beberapa langkah penambahbaikan,” katanya kepada media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 di Wisma Perwira di sini hari ini.

Beliau menambah, rakyat Malaysia diharap berlaku adil dan munasabah serta tidak menganggap kes-kes berbangkit mencerminkan keseluruhan Angkatan Tentera.

Menurut Khaled, kementerian juga akan memperketat penguatkuasaan peraturan serta mengambil tindakan disiplin tegas bagi membanteras rasuah dan salah guna kuasa dalam sistem pertahanan negara.

Terdahulu, pada 8 Januari, seorang bekas Panglima Tentera Darat direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman enam dan tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyita pelbagai aset termasuk emas, kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SUV) serta wang tunai dalam pelbagai mata wang asing yang dianggarkan bernilai RM6.9 juta.

Selain itu, sebanyak 23 utas jam tangan jenama Rolex pelbagai model turut dirampas dengan anggaran nilai pasaran kira-kira RM2 juta, dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan berkenaan.