
SEPANG, 12 Januari – Kira-kira RM55.5 juta disalurkan kerajaan MADANI kepada Tabika dan Taska Perpaduan sesi 2026.
- Peruntukan RM55.5 juta disalur untuk Tabika dan Taska Perpaduan sesi 2026 bagi pendidikan awal berkualiti dan berteraskan nilai perpaduan.
- Peruntukan meliputi bantuan kebajikan murid, pembaikan fasiliti, keperluan pembelajaran dan peningkatan profesionalisme pendidik.
- Kurikulum Prasekolah Baharu dilaksanakan dengan penekanan nilai perpaduan, modul Rukun Negara dan pengajaran Bahasa Ketiga.
- Tabika dan Taska Perpaduan menyediakan perkhidmatan percuma, dilindungi insurans, dan terdapat hasrat menambah bilangan mengikut kemampuan kerajaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata peruntukan itu bertujuan memastikan pendidikan awal kanak-kanak dapat dilaksanakan secara kondusif, berkualiti serta berteraskan nilai perpaduan.
Jelas beliau, peruntukan tersebut meliputi bantuan kebajikan murid, penambahbaikan fasiliti, penyediaan keperluan pembelajaran serta peningkatan profesionalisme guru dan pendidik.
“Hasrat kerajaan untuk melihat pada pembangunan minda kanak-kanak yang sihat. Kita juga diberi peruntukan sebanyak RM55.5 juta oleh pihak kerajaan untuk memastikan tadika pendidikan awal kanak-kanak yang mana melibatkan pembaikan penyelenggaraan dan juga apa yang melibatkan untuk pembentukan sahsiah anak-anak kita di Tabikat Perpaduan”, katanya demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Santuni Murid Tabika Perpaduan Kembali Ke Tabika Perpaduan Sesi Tahun 2026 di Tabika Perpaduan Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini hari ini.
Datuk Haslina turut memaklumkan, seramai 33,307 murid berusia empat hingga enam tahun telah berdaftar di 1,781 Tabika Perpaduan, manakala 998 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun mengikuti pembelajaran di 41 Taska Perpaduan di seluruh negara.
“Tabika dan Taska Perpaduan ini menyediakan perkhidmatan percuma tanpa sebarang bayaran. Malah, anak-anak ini turut dilindungi insurans dari aspek keselamatan sama ada di sekolah atau di luar sekolah, termasuk pengurusan diri mereka yang ditanggung oleh kerajaan,” jelasnya.
Selain itu, beliau juga memaklumkan pelaksanaan Kurikulum Prasekolah Baharu yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bermula tahun ini.
“Bermula hari ini, kita melaksanakan kurikulum prasekolah yang baharu dengan penekanan kepada nilai perpaduan, hormat-menghormati dan kasih sayang.
“Guru-guru Tabika Perpaduan juga telah dibekalkan latihan khusus bagi memastikan pelaksanaan kurikulum ini berkesan, berkualiti dan selari dengan keperluan pembangunan murid,” katanya.
Menurut beliau, kurikulum tersebut turut diperkasakan dengan modul khas seperti pendidikan Rukun Negara, kemahiran pengurusan diri serta pengajaran Bahasa Ketiga merangkumi Bahasa Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazan bagi memupuk semangat perpaduan dalam kepelbagaian.
“Ini penting untuk membentuk generasi muda yang memahami perpaduan dalam kepelbagaian. Kita mahu anak-anak ini dibentuk lebih awal sebelum melangkah ke alam persekolahan formal dan seterusnya ke dunia sebenar,” katanya.
Mengulas mengenai permintaan tinggi terhadap Tabika Perpaduan, Datuk Haslina berkata kementerian mempunyai hasrat untuk menambah bilangan Tabika dan Taska Perpaduan, namun ia tertakluk kepada keputusan serta kemampuan kewangan kerajaan.
“Hasrat untuk menambah memang ada kerana permintaan sangat tinggi, namun ia perlu diselaraskan dengan inisiatif dan keputusan kerajaan di peringkat tertinggi,” katanya.