Premis makanan peroleh pensijilan BeSS di Kelantan masih rendah

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob/ RTM

KOTA BHARU, 11 Januari – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menyuarakan kebimbangan terhadap bilangan premis makanan di negeri itu yang masih rendah dalam permohonan pensijilan BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat), iaitu pengiktirafan memastikan kebersihan, keselamatan makanan dan amalan pemakanan sihat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar permohonan pensijilan BeSS di Kelantan masih rendah, mencerminkan kesedaran yang membimbangkan dalam kalangan pengusaha dan pengguna.
  • Pensijilan BeSS ditawarkan secara percuma dan hanya perlu diperbaharui setiap tiga tahun, tiada alasan untuk tidak memohon.
  • Pihak berkuasa tempatan digalakkan mempromosikan permohonan sukarela untuk BeSS dan halal bagi memperkukuh keselamatan makanan.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata di Kota Bharu sahaja terdapat kira-kira lebih 2,000 premis makanan, namun hanya 235 daripadanya memperoleh pensijilan BeSS.

Beliau berkata keadaan itu mencerminkan tahap kesedaran yang membimbangkan dalam kalangan pengusaha makanan dan pengguna mengenai kepentingan kebersihan serta keselamatan makanan.

“Masyarakat perlu memainkan peranan supaya kita memilih kedai-kedai yang mempunyai pensijilan-pensijilan tertentu, jadi katakanlah premis itu tiada sijil BeSS, orang tak masuk kedai dia, akhirnya dia akan berusaha juga untuk mendapatkan pensijilan ini,” kata beliau selepas menyaksikan penyerahan sijil BeSS kepada Cafe AR di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ 2), di sini hari ini.

Datuk Dr Mohd Azman berkata pensijilan BeSS adalah percuma dan hanya perlu diperbaharui sekali setiap tiga tahun dan tiada sebab untuk pengusaha tidak memohonnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pihak berkuasa tempatan turut digalakkan untuk mempromosikan permohonan secara sukarela bagi pensijilan BeSS dan halal sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memperkukuh standard keselamatan makanan dan kesihatan awam di Kelantan.