
KUALA LUMPUR, 11 Januari– Prospek ekonomi Malaysia pada 2026 dijangka disokong oleh tiga pemacu domestik utama, iaitu pelarasan gaji penjawat awam, pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
- Pelarasan gaji penjawat awam dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna dan memacu perbelanjaan isi rumah.
- Peningkatan pendapatan penjawat awam membawa kepada kualiti hidup lebih baik dan corak perbelanjaan lebih berkualiti.
- TMM 2026 menyokong sektor perkhidmatan termasuk pelancongan, penerbangan, hospitaliti dan runcit dengan kesan limpahan negeri.
- RMK13 dijangka memacu pertumbuhan mampan melalui pelaksanaan projek dan pelaburan berskala besar.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPP Wealth Manager Limited, Mohd Sedek Jantan berkata perkembangan domestik tersebut dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2026, dengan momentum awal yang lebih kukuh sebelum beralih kepada fasa pertumbuhan yang lebih stabil.
Beliau berkata pelarasan gaji penjawat awam dijangka menyokong pertumbuhan melalui peningkatan pendapatan boleh guna, sekali gus mengukuhkan perbelanjaan isi rumah dalam persekitaran inflasi yang lebih terkawal.
“Kalau kita lihat pada tahun 2025, ringgit Malaysia sangat kukuh, sekitar sembilan peratus berbanding dolar AS, dan ini membantu mengurangkan tekanan inflasi import.”
“Dalam konteks pelarasan gaji, kesannya bukan sekadar kepada jumlah perbelanjaan, tetapi turut meningkatkan kualiti hidup penjawat awam, apabila peningkatan pendapatan mendorong peralihan kepada corak perbelanjaan yang lebih berkualiti.” katanya selepas menjadi tetamu Biz Malaysia di TV1.
Tambahnya, pelaksanaan TMM 2026 pula memberi sokongan kepada sektor perkhidmatan dengan meningkatkan aktiviti pelancongan, penerbangan, hospitaliti dan runcit, selain memberi kesan limpahan kepada ekonomi merentas semua negeri.
Di samping itu, RMK13 dijangka menjadi pemacu pertumbuhan yang lebih mampan apabila projek dan pelaburan berskala besar mula dilaksanakan, walaupun kesannya tidak berlaku serta-merta memandangkan 2026 merupakan tahun pertama pelaksanaannya.