
CYBERJAYA, 9 Januari – Perintah Peranti Perubatan (Peranti Perubatan yang Ditetapkan) 2026 telah diwartakan dan akan berkuat kuasa pada 1 Jun depan bagi memastikan keselamatan serta perlindungan pengguna terjamin.
- Perintah Peranti Perubatan 2026 diwajibkan bagi memperkukuh keselamatan dan perlindungan pengguna dalam rawatan estetik dan kecantikan.
- Penggunaan peranti seperti laser, HIFU dan liposuction akan dikawal selia secara menyeluruh.
- Pengendali mesti memiliki kelayakan dan kemahiran diiktiraf kerajaan untuk memastikan kualiti dan keselamatan.
- MDA akan bekerjasama dengan pengamal, pengusaha dan orang awam untuk pelaksanaan lancar sebelum 1 Jun 2026.
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dalam satu kenyataan memaklumkan, perintah itu bertujuan untuk memperkukuh kawal selia penggunaan peranti perubatan untuk tujuan rawatan perubatan estetik dan kecantikan di Malaysia.
“Pewartaan termasuk penggunaan peranti perubatan tertentu dalam rawatan estetik dan kecantikan akan dikawal selia secara menyeluruh. Antara peranti perubatan yang terlibat termasuk peranti rawatan laser, High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU), liposuction dan rawatan berkaitan.
“Peranti perubatan yang digunakan tertakluk kepada keperluan kawal selia bagi memastikan pengendali mempunyai kelayakan dan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan, sekali gus menjamin keselamatan, kualiti serta kesesuaian kepada orang awam,” menurut kenyataan itu.
Langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan menjaga kesihatan awam serta memastikan industri estetik dan kecantikan berkembang secara mampan, beretika dan mematuhi keperluan perundangan selain menyokong penggunaan teknologi secara terkawal tanpa menjejaskan keselamatan pengguna.
“Orang awam juga dapat dilindungi daripada risiko ketidakpatuhan piawaian keselamatan peranti perubatan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan estetik dan kecantikan,” tambah kenyataan itu.
MDA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk pengamal perubatan, pengusaha industri dan orang awam bagi memastikan pelaksanaan perintah ini berjalan lancar menjelang tarikh kuat kuasa pada 1 Jun 2026.
Sebarang pertanyaan mengenai pewartaan boleh dikemukan melalui emel alyajazmina@mda.gov.my dan juga di talian 03-8230 0300.