KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Rusia menyatakan sokongan terhadap hasrat Malaysia untuk menjadi ahli penuh blok ekonomi BRICS, yang disifatkan sejajar dengan prinsip asas pertubuhan itu.
- Rusia menyokong hasrat Malaysia menjadi ahli penuh BRICS, kerana sejajar dengan prinsip asas pertubuhan.
- Overchuk menekankan BRICS beroperasi atas konsensus dan penghormatan kepada kedaulatan negara anggota.
- Malaysia dianggap sesuai dengan kriteria BRICS melalui perkongsian pandangan dan pendekatan strategik global.
- Rusia komited memperkukuh kerjasama ekonomi dan keterhubungan dengan ASEAN, memandangkan pertumbuhan berpindah ke Asia Tenggara.
- Rusia sedia luaskan kerjasama tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan mampan untuk masa depan.
Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexey Overchuk berkata Malaysia menepati prinsip utama BRICS yang berasaskan konsensus dan penghormatan terhadap kedaulatan negara anggota.
“BRICS ialah blok negara yang membina hubungan berasaskan rasa hormat bersama serta berpegang kepada prinsip konsensus. Tiada siapa memaksa sesiapa dalam BRICS.
“Negara anggota sentiasa bertukar pandangan mengenai isu global dan berkongsi pendekatan terhadap cabaran strategik yang membentuk dunia moden kita. Dalam konteks itu, Malaysia memang sesuai dengan kriteria tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai hubungan Rusia–ASEAN, Overchuk menegaskan Rusia komited memperkukuh kerjasama dan keterhubungan ekonomi dengan rantau ini, selaras dengan hakikat bahawa pusat pertumbuhan ekonomi dunia kini beralih ke Asia Tenggara.
Menurutnya, hubungan perdagangan dan ekonomi antara Rusia dan ASEAN berpotensi memberi manfaat timbal balik kepada kedua-dua pihak.
“Kami juga bersedia memperluaskan kerjasama dalam bidang tenaga nuklear, yang kami anggap sebagai sumber tenaga bersih dan mampan bagi memenuhi keperluan masa depan,” tambahnya.