Belanjawan 2026 sejajar hasrat capai Negara AI 2030

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Komitmen terhadap pendigitalan, inovasi dan pembangunan bakat digital yang dizahirkan menerusi Belanjawan 2026 adalah selari dengan sasaran Malaysia untuk mencapai status Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belanjawan 2026 menekankan pendigitalan, inovasi dan pembangunan bakat digital selari dengan aspirasi Negara AI 2030.
  • Kerajaan memperkukuh infrastruktur digital melalui JENDELA 2, PoP, NADI dan sambungan kabel dasar laut SALAM.
  • Inisiatif Sovereign AI Cloud dan AI Transformation Centre menunjukkan tekad memajukan ekosistem AI tempatan.
  • TM membangunkan TM Cloud Alpha Edge untuk melindungi kedaulatan data sambil menyokong inovasi merentas industri.
  • Peruntukan besar untuk RDCI, insentif cukai PMKS dan latihan HRD Corp meningkatkan kemahiran digital dan kesiapsiagaan siber.

Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam satu kenyataan berkata, penekanan kerajaan terhadap pemerkasaan infrastruktur dan keterangkuman digital bakal memperkukuh ketahanan digital negara secara menyeluruh.

“Antara inisiatif utamanya termasuk peluasan JENDELA 2, Points of Presence (PoP), Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM),” kata TM.

Jelas TM, hasrat strategik kerajaan untuk memajukan Sovereign AI Cloud serta menubuhkan AI Transformation Centre itu turut mencerminkan tekad Malaysia menerajui dunia berasaskan digital.

“TM bergerak seiring dengan hala tuju ini menerusi pembangunan TM Cloud Alpha Edge, yang melindungi kedaulatan data negara sambil membolehkan inovasi merentas industri,” jelas syarikat itu.

Sementara itu, Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (PIKOM) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai bukti kesungguhan kerajaan menjadikan transformasi digital sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Antara peruntukan penting yang disambut baik termasuk RM5.9 bilion bagi penyelidikan,pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) di pelbagai kementerian.

PIKOM turut memuji langkah kerajaan memperkenalkan potongan cukai tambahan 50 peratus kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi latihan dalam AI dan keselamatan siber.

Langkah itu disifatkan mampu memperkukuh daya tahan tenaga kerja serta meningkatkan kesiapsiagaan siber negara.

Selain itu, peruntukan RM3 bilion melalui HRD Corp bagi menyediakan tiga juta peluang latihan digital dan teknologi tinggi turut dilihat selaras dengan saranan PIKOM untuk mempercepat proses peningkatan dan latihan semula kemahiran tenaga kerja tempatan.