BANGI, 22 Ogos – Mendepani kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), pembangunan Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 2026–2030 akan memberi tumpuan khusus terhadap pemanfaatan teknologi tersebut dalam penyampaian perkhidmatan Islam di negara ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, berkata sebagai sebuah agensi kerajaan yang sentiasa menjadi rujukan masyarakat, JAKIM perlu bersedia dan memahirkan diri dengan teknologi bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada seluruh umat Islam.
“Teknologi ini kita tidak boleh elakkan, tetapi kita perlu memanfaatkannya. Kita perlu tentukan ke mana arah tuju penggunaan teknologi tersebut.
JAKIM perlu menyediakan data dan maklumat yang tepat supaya tidak tersasar, kerana teknologi ini kita yang programkan. Kita perlu pastikan maklumat yang dirujuk masyarakat adalah sahih dan tidak mengelirukan,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan JAKIM di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.
Turut diadakan, sesi Town Hall bersama hampir 300 warga JAKIM dari pelbagai bahagian seperti Pengurusan Halal, Dakwah dan Penerbitan, termasuk penyertaan dari Sabah dan Sarawak secara dalam talian.
Inovasi perkhidmatan dan usaha meremajakan JAKIM turut menjadi antara fokus utama yang dibincangkan dalam rangka membangunkan Pelan Strategik lima tahun akan datang.