Pogram Repatriasi Migran 2.0 dilanjutkan hingga tahun depan

PUTRAJAYA, 16 Mei – Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) akan dilanjutkan bermula Isnin ini (19 Mei) hingga 30 April 2026, khusus untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan melanjutkan program pengampunan pulang pendatang tanpa izin secara sukarela yang tamat pada 31 Mac lepas itu, mendapat persetujuan agensi kawal selia termasuk Jabatan Peguam Negara.

“PRM 2.0 tidak terbuka kepada pendatang tanpa izin yang telah mendaftar namun gagal membuat perjalanan keluar menerusi program sebelum ini. Ia juga tidak terbuka kepada mereka yang disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen dan mempunyai waran tangkap atau dikehendaki pihak berkuasa.

“Pertama, kompaun RM500 bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, masuk kosong sama sekali kita dikenakan kompaun RM500 kalau mereka tampil dalam tempoh repatriasi ini dan kita akan hantar dia balik.

“Kedua kompaun RM500 juga bagi kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia selepas tamat tempoh pas dikeluarkan, dia masuk ada dokumen dalam satu tempoh dia keluar tapi dia tak keluar. Yang ketiga adalah kompaun RM300 ini bagi kesalahan melanggar syarat pas” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2024, di sini.

Setiap pemohonan akan dikenakan bayaran sebanyak RM20 bagi pengeluaran Pas Khas. Manakala bagi kanak -kanak yang berumur 18 tahun ke bawah yang tinggal lebih masa atau tiada dokumen perjalanan yang sah, dikecualikan daripada kompaun tetapi penjaga perlu membayar Pas Khas.

Tegasnya lagi, PRM 2.0 ini tidak terbuka kepada PATI yang telah mendaftar tetapi gagal membuat perjalanan keluar semasa pelaksanaan PRM 1.0 sebelum ini, serta yang disenarai hitam Jabatan Imgiresen dan mempunyai waran tangkap atau dikehendaki pihak berkuasa.

“Kementerian menyeru semua pihak termasuk perwakilan asing dan semua pihak berkepentingan untuk menguar-uarkan program tersebut kepada golongan PATI yang berada di Malaysia supaya ambil peluang ini untuk pulang ke negara asal secara sukarela dan jangan tunggu saat akhir ” menurut beliau.

Dalam pada itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran terutama di kawasan tumpuan warga asing.

Penguatkuasaan tersebut akan dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tambahnya, setakat 13 Mei lepas sebanyak 5,001 operasi telah dilaksanakan melibatkan pemeriksaan ke atas 66,590 inidividu , dengan tangkapan 34, 287 PATI dan 669 majikan .

Seramai 1 226 pegawai dan anggota JIM dari seluruh negara diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi menghargai ke atas perkhidmatan yang tidak berbelah bagi serta komitmen berterusan terhadap kecemerlangan JIM.