Sunday, April 21, 2019
vital-top
updated 8:34 AM UTC, Apr 21, 2019

31 Atlet Kemungkinan Dihalang Sertai Olimpik Rio

  • Published in Sukan

Switzerland  - Sekurang-kurangnya 31 atlet dari 12 negara berdepan kemungkinan dihalang daripada menyertai Sukan Olimpik Rio selepas sampel doping mereka didapati positif. 

Dijangkakan lebih ramai lagi atlet berdepan tindakan serupa selepas sampel doping Sukan Olimpik London dan Musim Sejuk di Sochi Rusia selesai diuji semula. 

Pihak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah menguji semula 454 sampel doping yang diambil semasa Olimpik Beijing 2008, hasilnya 31 atlet didapati positif. 

IOC juga akan menguji semula sampel yang diambil semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk di Sochi Rusia 2014 selepas tersebarnya dakwaan sampel berkenaan telah dimusnahkan sejak seminggu lalu.    

Manakala 250 sampel daripada Sukan Olimpik London 2012 juga telah diambil untuk diuji semula. 

IOC enggan mendedahkan nama atlet terbabit sehingga sampel B mereka selesai diuji. 

Bagi mengelakkan manipulasi, IOC akan bekerjasama dengan Agensi Anti Doping Antarabangsa WADA untuk menggunakan kaedah baharu, berbeza daripada yang diamalkan sebelum ini. 

Pengharaman atlet terbabit daripada menyertai Olimpik Rio adalah bagi membersihkan kejohanan  terbesar dunia itu daripada dicemari oleh amalan penipuan doping, bagi memelihara integritinya.