Monday, February 18, 2019
vital-top
updated 2:45 PM UTC, Feb 17, 2019

Skuad Piala Thomas Negara Ke Separuh Akhir Cerah

  • Published in Sukan

 

Kuala Lumpur - Peluang skuad badminton negara untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Piala Thomas dilihat lebih cerah, kata bekas ketua jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek.

Beliau berkata barisan pemain yang diketuai jaguh utama negara Datuk Lee Chong Wei adalah senarai terbaik yang boleh dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk saingan pusingan akhir di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei ini.

"Pada saya, mungkin ini adalah keputusan terbaik pada BAM walaupun ada timbul rasa tidak puas hati di kalangan pemain terutamanya mereka yang dilihat lebih layak dari segi ranking dan prestasi semasa.

"Peluang untuk berada di separuh akhir memang cerah. Tapi kalau BAM sasar untuk ke final, line up bukan macam ini, line up lebih bagus dari itu," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman dua ketua jurulatih baharu Akademi Badminton AirAsia.

Skuad Piala Thomas negara dibarisi empat perseorangan lelaki yang diketuai Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat serta tiga pasangan beregu iaitu Goh V Shem/Tan Wee Kiong, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Teo Ee Yi/Ong Yew Sin.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman, manakala juara bertahan Jepun diundi bersama China, Peranchis dan Mexico dalam Kumpulan A.

Pada majlis pengumuman itu, Rashid dan Rosman Razak dilantik sebagai ketua jurulatih baharu masing-masing untuk acara perseorangan dan beregu dalam usahasama dengan Akademi Sports Affairs.