Thursday, February 21, 2019
vital-top
updated 1:31 PM UTC, Feb 21, 2019

Piala AFC - JDT Atasi Ayeyawady United 2 - 1

  • Published in Sukan

 

Yangon - Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menang 2-1 ke atas juara Liga Myanmar, Ayeyawady United di Stadium Pusat Latihan Belia.

Jaringan Safee Sali pada lewat separuh masa kedua membantu skuad Harimau Selatan meraih kemenangan kelima berturut-turut, sekali gus menyaksikan mereka kekal di tangga teratas Kumpulan H dengan kutipan maksimum 15 mata berbaki satu perlawanan lagi.

Pasukan tuan rumah yang menyingkap tirai jaringan menerusi penyerang Thiha Zaw pada minit ke-26.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad Harimau Selatan kembali memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih gol penyamaan selang empat minit kemudian menerusi Mohd Amirulhadi Zainal bagi mencipta keputusan seri 1-1 hingga tamat perlawanan separuh masa.

Sebaik perlawanan bersambung, kedua-dua pasukan saling mengasak kubu masing-masing bagi mencari gol kedua namun nasib lebih menyebelahi JDT yang menemui jaringan kemenangan menerusi sentuhan penyudah Safee Sali pada minit ke-87.

Untuk rekod, JDT sebelum ini berpesta gol ke atas Ayeyawady United selepas menang selesa 8-1 pada aksi pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 24 Feb lepas.