Sunday, February 17, 2019
vital-top
updated 2:45 PM UTC, Feb 17, 2019

Tujuh Negara Luar Sertai Pesta Cabaran Laut Labuan Hujung Minggu Ini

  • Published in Sukan

Labuan - Pelbagai acara sukan, seni dan budaya akan diadakan di sini hujung minggu ini yang akan menarik ribuan pelancong ke pulau bebas cukai itu.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah memberi peruntukan kepada Perbadanan Labuan (LC) untuk menganjurkan acara antarabangsa tahunan itu, 'Labuan International Sea Challenge 2016' bermula 29 April hingga 1 Mei ini.

Pengurus Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB) Labuan, Nor Hidayah Mohd Nor berkata empat acara sukan antarabangsa yang dinanti-nantikan ialah Cabaran Berenang Merentas Selat sejauh 5.4 kilometer (km), Cabaran Kayak Mengelilingi Pulau 50km, Pertandingan Memancing Pulau ke Pulau dan Tarik Tali Berperahu.

Peserta antarabangsa ialah dari Brunei, Filipina, Jepun, Perancis, Belanda, Australia dan Sepanyol.

Acara itu disokong MTPB, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Labuan, Labuan Surf Cast Group, Majlis Sukan Labuan, Majlis Belia Labuan dan Persatuan Kanu Labuan.

"Acara utama di Labuan ini merupakan pelaburan yang dibuat untuk membawa masuk pelancong dari dalam dan luar negara bagi merancakkan industri pelancongan.

"Ia juga akan membantu meningkatkan reputasi Labuan sebagai tempat yang menarik, dinamik dan bersemangat untuk dilawati, didiami, bekerja dan belajar yang mana penduduk dan pelancong berpeluang menghadiri acara-acara bertaraf antarabangsa," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dijangkakan lebih 10,000 orang termasuk penyokong dan peserta akan menghadiri acara sepanjang tiga hari itu.

"Berpuluh ribu pengunjung akan tinggal di hotel kita, makan dan minum di restoran kita dan membeli produk di kedai kita sekaligus menyokong perniagaan tempatan," katanya.