Monday, February 18, 2019
vital-top
updated 2:45 PM UTC, Feb 17, 2019

Atlet Perlu Bertanggungjawab Terhadap Kes Doping - MOM

  • Published in Sukan

 

Kuala Lumpur  - Dua atlet elit angkat berat negara yang terbabit dalam kes doping perlu bertanggungjawab di atas tindakan dilakukan mereka itu, kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo.

"Mereka perlu faham bahawa tanggungjawab adalah di atas mereka. Apa yang diambil, apa yang disuntik pada badan, mereka perlu bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi.

Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), mengesahkan dua atlet elit negara gagal ujian doping yang dikendalikan Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas).

Berikutan itu, PABM telah mengeluarkan surat kepada kedua-dua atlet terbabit dan mereka diberi tempoh dua minggu untuk menjawab mengenai keputusan positif sampel A.

Setiausaha PABM Pang Siew Huat juga sedang mengatur untuk membawa pulang kedua-dua atlet berkenaan ke Malaysia dan mereka dijangka tiba dalam masa seminggu.

Kedua-dua atlet tersebut juga akan digantung sementara daripada program 'Kita Juara' yang diperkenalkan dalam misi Malaysia untuk muncul juara Sukan SEA 2017.

Atlet angkat berat negara termasuk Mohd Hafifi Mansor, Mohd Zulhelmi Md Pisol, Muhammad Azroy Hazalwafie Izsar Ahmad, Loro Welkinson, Mohd Fazrul Azri, Aznil Bidin, Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan kini berada di China sebagai persiapan untuk Kejohanan Asia di Uzbeskistan.

Kejohanan itu penting kerana menawarkan tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos depan.