Monday, February 18, 2019
vital-top
updated 3:50 PM UTC, Feb 18, 2019

JDT Teruskan Rekod Tanpa Kalah

  • Published in Sukan

Vientiane - Juara bertahan Johor Darul Takzim meneruskan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanandengan membenam kelab Laos, Lao Toyota 4-1 dalam aksi Kumpulan H, sekaligus berjaya meneruskan saingan ke pusingan kalah mati. 

Pasukan Harimau Selatan berkunjung ke Vientiane dengan misi mesti menang untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati, ketika masih berbaki dua perlawanan untuk diharungi. 

Peluang terbaik hadir pada minit ke 12 menerusi Safi Salee namun cubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Toyota, Vathana Keodouangdeth. 

Seminit sebelum rehat, tuan rumah pula berada didepan apabila sepakan Phatthana Syvilay terus ke gawang untuk mendahului 1-0. 

Dua minit permainan bersambung Safi Salee berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Amri Yahyah dijatuhkan dalam kawasan penalti. 

Johor terus menggempur benteng tuan rumah dan hasilnya gol kedua hadir menerusi sepakan percuma Mohamad Fadhli Shaas minit ke 65 sebelum Amri Yahyah pula mencetak nama selaku penjaring ketiga 10 minit berselang. 

Percaturan Mario Gomez memasukkan Pereyra Diaz minit ke-83 tidak sia sia apabila penyerang asal Argentina ini berjaya meledakkan gol keempat JDT. 

Dengan 12 mata daripada empat perlawanan JDT berjaya meneruskan saingan ke pusingan 16 pasukan. 

Manakala Lao Toyota kekal ditangga tercorot Kumpulan H dengan hanya tiga mata.