Sunday, April 21, 2019
vital-top
updated 12:08 PM UTC, Apr 21, 2019

Kim Swee Yakin Malaysia Ulangi Corak Permainan Yang Baik Menentang Arab Saudi

  • Published in Sukan

 

Kuala Lumpur  - Ketua Jurulatih skuad bola sepak negara Datuk Ong Kim Swee yakin pemain Malaysia akan mengulangi rentak permainan mereka menentang Arab Saudi sebelum ini dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah Sports City di Jeddah, Arab Saudi esok.

Kedua-dua pasukan telah bertemu pada perlawanan kelayakan keempat di Stadium Shah Alam pada 8 Sept tahun lepas tetapi Arab Saudi diberikan kemenangan 3-0 oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berikutan kekecohan yang ditimbulkan oleh segelintir penyokong pasukan negara.

"Kami tahu Arab Saudi adalah satu pasukan yang kuat tetapi kami mampu mengekang mereka di Shah Alam dan saya percaya kami boleh mengulangi persembahan yang sama," kata beliau dalam sidang media praperlawanan.

Kim Swee juga percaya pemain dalam senarai tunggu sedia -- Mohd Nazrin Nawi dan Adam Nor Azlin yang dipanggil untuk menggantikan S. Chanturu dan Muhammad Fazly Mazlan, akan memberikan persembahan terbaik mereka ketika berhadapan tuan rumah.

Pada masa yang sama, jurulatih kelahiran Melaka itu memberi amaran kepada pemain pertahanan negara untuk mengukuhkan kubu mereka kerana penyerang tuan rumah mempunyai rekod penjaringan gol yang lebih baik -- 25 gol dalam enam perlawanan kelayakan.