Logo

Malaysia Dijangka Berdepan Cabaran Getir Dari Korea Selatan

 

Kuala Lumpur - Skuad lelaki Malaysia dijangka berdepan cabaran getir dari Korea Selatan dalam usaha untuk muncul selaku pendahulu Kumpulan C pada saingan Piala Thomas, Mei depan.

Dalam undian Piala Thomas dan Uber yang diadakan hari ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Korea Selatan serta Jerman dan England, yang masing-masing berada di ranking ke-11 dan 12 dunia.

Piala Thomas dan Uber akan berlangsung di Kunshan, China dari 15 hingga 21 Mei.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berkata selaku pilihan kedua dalam Kumpulan C, pemain negara tidak boleh memandang rendah keupayaan dua lawan mereka, Jerman dan England pada kejohanan itu.

"Undian yang menarik dan mereka (pemain) tidak seharusnya berdepan masalah mengatasi Jerman dan England....untuk muncul juara kumpulan, saya jangkakan cabaran dari Korea Selatan.

"(Pasukan Malaysia dalam) Piala Uber pula akan berdepan saingan dari Denmark serta Sepanyol dan berpeluang cerah mara ke suku akhir," kata Frost.

Dalam saingan Piala Uber, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama juara 13 kali China, Denmark dan Sepanyol.

Berdasarkan ranking pasukan badminton dunia yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), skuad lelaki Malaysia berada di ranking keenam dunia, manakala Korea Selatan di tangga keempat.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.