Thursday, February 21, 2019
vital-top
updated 1:31 PM UTC, Feb 21, 2019

Natasha, Timmy Juarai Kejohanan Boling Kebangsaan

  • Published in Sukan

 

Petaling Jaya - Pemain elit negara, Natasha Roslan dan Timmy Tan muncul juara kebangsaan, masing-masing dalam kategori wanita dan lelaki Kejohanan Boling Kebangsaan ke-40 di Mega Lanes, Bandar Sunway.

Selaku pendahulu kategori Masters wanita, Natasha berjaya mengekalkan momentum permainan untuk menewaskan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dengan kelebihan 24 pin selepas menjatuhkan 206 pin berbanding 182 oleh lawannya.

Natasha, 20, berkata beliau tidak menjangka dapat menjuarai kejohanan itu ekoran saingan sengit daripada rakan sepelatihnya, Siti Safiyah Amirah.

"Saingan memang sengit tapi itu perkara biasa. Semua pertandingan sama sahaja, yang penting konsistensi dan keyakinan.

"Pertama kali jadi juara kebangsaan memang sesuatu yang menggembirakan cuma bezanya hari ini, tekanan yang tinggi buat saya lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik," katanya.

Natasha yang mula bersama skuad kebangsaan sejak tiga tahun lalu berkata sebelum kejohanan bermula, beliau hanya mahukan yang terbaik buatnya dan pasukan Selangor.

Sementara itu, hanya satu pin menjadi pemisah antara Timmy dan juara bertahan Muhd Rafiq Ismail.

Timmy bangkit mengatasi pendahulu kategori Masters lelaki, Muhd Rafiq untuk menang 224-223 dalam pertarungan yang cukup sengit.