Monday, February 18, 2019
vital-top
updated 3:50 PM UTC, Feb 18, 2019

Khairy Sedia Pertimbangkan Sukan SEA Dan Sukan Para Asean 2017 Diadakan Serentak

  • Published in Sukan

 

KualaLumpur - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersedia mempertimbangkan cadangan untuk menganjurkan Sukan SEA dan Sukan Para Asean 2017 secara serentak di Kuala Lumpur.

Khairy berkata secara peribadi beliau tertarik dengan cadangan tersebut kerana penganjuran dua temasya itu serentak akan menyemarakkan semangat kesukanan dan dapat membantu dari aspek pengurusan kos.

"Ia tidak pernah dibuat serentak dan akan menjadi sejarah dalam penganjuran Sukan SEA dan Para Asean. Kita akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM)" katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Khairy berkata beliau akan membuat keputusan selepas menerima nasihat dan pandangan sekretariat Sukan SEA yang dipengerusikan oleh Datuk Zolkples Embong.

MPM menerusi kenyataannya semalam telah mencadangkan supaya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 yang dijadual berlangsung pada 19-31 Ogos 2017 di Kuala Lumpur, digabungkan dan dikenali sebagai Sukan ASEAN 2017.