Saturday, February 16, 2019
vital-top
updated 9:20 AM UTC, Feb 16, 2019

V Shem-Wee Kiong Ke Separuh Akhir Seluruh England

  • Published in Sukan

 

London  - Beregu utama lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke separuh akhir kejohanan Seluruh England selepas menundukkan gandingan senior Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di suku akhir.

V Shem-Wee Kiong yang kini menduduki ranking ke-16 dunia mengambil masa 49 minit untuk menundukkan Kien Keat-Boon Heong 21-19, 22-20 di Barclaycard Arena, Birmingham.

Menanti mereka di separuh akhir adalah pilihan keenam, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun menyingkirkan pilihan ketiga Fu Haifeng-Zhang Nan dari China 21-19, 21-12.

Satu lagi perlawanan separuh akhir beregu lelaki adalah antara pilihan utama, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan dan pasangan Rusia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov.

Ini juga kemenangan pertama V Shem-Wee Kiong ke atas bekas juara Seluruh England 2007 itu dalam pertemuan sulung mereka setakat ini.

Ia juga menjadikan mereka sebagai wakil tunggal negara yang masih beraksi di kejohanan Siri Super Premier itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$550,000 (RM2.263 juta).